Nov 25, 2008

Gemuk punca Diabetes?

LOS ANGELES: Peningkatan kes ‘diabesity’, istilah baru yang bagi masalah gemuk akibat penyakit diabetes atau kencing manis, semakin banyak di kesan di kalangan kanak-kanak Amerika, kata pegawai perubatan yang menerbitkan buku penyakit itu.
Pakar endokrinologi, Francine Kaufman di Hospital Kanak-Kanak di sini, membandingkan peningkatan kes diabetes jenis 2 di kalangan kanak-kanak gemuk dengan tsunami yang bermula pada pertengahan 1990-an.
“Sebagai doktor saya menemui banyak penyakit baru seperti Aids serta sebahagian daripada jangkitan yang datang dan pergi.
“Bagaimanapun, diabetes jenis 2 adalah semacam tsunami yang meluru ke arah kamu,” katanya.
Diabetes adalah penyakit yang menyebabkan badan tidak menghasilkan insulin iaitu hormon penting yang menukarkan gula dan kanji menjadi tenaga atau menyebabkan keadaan badan menolak insulin yang akhirnya akan merosakkan pankreas.
Diabetes jenis 1 kebiasaannya membabitkan faktor genetik tetapi jenis 2 yang lebih lumrah dihidapi terutamanya mereka yang berusia lebih 50 tahun.
Kaufman turut menceritakan ketika beliau masih belajar di sekolah perubatan pada 1970, gurunya menyatakan diabetes jenis 2 kebanyakannya dikesan pada mereka yang berusia lebih 50 tahun.
Bagaimanapun, sejak beberapa dekad lalu, semakin ramai kanak-kanak gemuk menghidap penyakit itu.
“Pada pertengahan tahun 1990-an kita mula melihat masalah gemuk ini di kalangan kanak-kanak dan dewasa. Bagaimanapun, dalam tempoh singkat komplikasi gemuk ini menjadi semakin ketara meskipun pada kanak-kanak.
“Semakin ramai kanak-kanak menghidap penyakit darah tinggi, masalah kolestrol tidak sempurna dan kini kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis 2, perkara yang kita tidak pernah dengar sebelum ini,” katanya.
Di hospitalnya, kanak-kanak yang mengalami diabetes jenis 2 adalah adalah 25 peratus berbanding kes diabetes lain iaitu 10 kali ganda berbanding jumlah normal, katanya.
Jumlah ini amat berkait rapat dengan jumlah kes lebih berat badan di negara ini kata Kaufman, dengan 30 peratus orang dewasa dianggap gemuk. Beliau turut menyatakan, punca masalah ini berkaitan dengan peningkatan pengambilan makanan segera, air yang manis serta tidak banyak memakan buah serta sayur-sayuran.
Meskipun boleh dirawat, penyakit ini tidak boleh sembuh serta boleh mengakibatkan serangan penyakit jantung, angin ahmar, masalah buah pinggang dan buta selain boleh menyebabkan pesakit mati 20 tahun lebih muda.

No comments:

Post a Comment